MDeC, agensi kedua guna kenderaan elektrik

KETUA Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood (kiri) bersama Pengerusi COMOS, Datuk Seri Syed Zainal bergambar dihadapan kereta elektrik MDeC selepas majlis pelancaran di Cyberjaya, semalam. – Foto NSTP

 

CYBERJAYA: Industri kenderaan elektrik (EV) mencatat satu lagi sejarah baharu di Malaysia, apabila Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menjadi agensi kerajaan kedua selepas Institut Automotif Malaysia (MAI) menggunakan EV secara rasmi di negara ini.

Ia susulan kerjasama antara MDeC dan Cohesive Mobility Solution (COMOS), sekali gus menandakan komitmen agensi itu ke arah masa hadapan yang lebih hijau, selain menyokong teknologi akan datang untuk melengkapi masa hadapan bandar pintar Cyberjaya.

Menerusi kerjasama itu, MDeC menerima EV jenis Renault Zoe dari COMOS yang dilengkapi tujuh Kilowatt Penyelesaian Infrastruktur Mengecas Syntronic (SyntroCIS) dibangunkan syarikat berstatus MSC, Syntronic Malaysia Sdn Bhd secara sewaan untuk tempoh empat tahun di bawah Program Perkongsian Kereta Elektrik COMOS.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata menerusi perkongsian dua entiti berkenaan, kakitangan perbadanan itu digalakkan menggunakan kenderaan terbabit untuk tujuan kerja, mesyuarat dan majlis luar.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan hasrat MDeC dan kerajaan untuk membantu mengurangkan pengeluaran karbon dan melaksanakan peranan agensi itu melindungi alam sekitar.

“Kenderaan cekap tenaga (EEV) adalah masa hadapan pengangkutan. MDeC berbangga menjadi warga korporat hijau sejajar agenda hijau negara.

“Kami berharap program ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, selain menggalakkan penyelesaian tempatan untuk pertumbuhan industri berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penyerahan EV COMOS diadakan di Cyberjaya. Penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi COMOS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir kepada MDeC yang diwakili Yasmin.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin berkata, program pencetus itu menjadi matlamat COMOS untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pengangkutan.

“Dengan COMOS, organisasi boleh bergantung kepada platform kami untuk menjimatkan kos menerusi pengurusan kenderaan yang lebih baik, penggunaan sifar bahan api fosil serta mengurangkan kesesakan melalui perkongsian kereta dan pada masa sama melakukan sesuatu yang baik untuk alam sekitar,” katanya.

Ketika ini, ada lebih 20 syarikat berstatus MSC terbabit dalam teknologi hijau dan lebih 80 peratus daripadanya milik rakyat Malaysia. MAI dan Cyberview turut menyewa EV daripada COMOS.

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

[email protected]