CMS akan bina 60 stesen mengecas EV

screenshot_1
AFIQAH Najihah Zabani memperagakan kereta elektrik Renault Zoe di Damansara, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

 

KUALA LUMPUR 19 Sept. – CMS Consortium Sdn. Bhd. (CMS) akan membina 60 stesen mengecas bagi infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di sekitar Lembah Klang menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pelan penempatan insfrastruktur itu akan diperluaskan mengikut fasa ke seluruh negara dalam tempoh enam tahun bermula dengan Pulau Langkawi pada Disember ini dan diikuti Melaka (2015), Pulau Pinang (2016), Johor Bharu (2016) termasuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya Utara Selatan (2017).

Katanya, pembinaan stesen itu melibatkan perbelanjaan modal antara RM20 juta hingga Rm25 juta.

“Stesen pertama ini akan dibuka di Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2014 dan orang ramai berpeluang menggunakannya secara percuma selama sebulan sebagai tempoh percubaan untuk melihat reaksi mereka terhadap kemudahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Petronas, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Celcom Axiata Berhad.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Perkhidmatan Perniagaan dan Penyelesaian Celcom, Afizulazha Abdullah; Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas, Norliza Kamaruddin dan Pengarah Kampus UTM, Prof. Dr. Hadri Saidi.

CMS menjalin kerjasama dengan Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) yang membangunkan inisiatif program sistem mobiliti bersepadu (Comos) dalam usaha memperkenalkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat di negara ini.

Sebelum ini, program Comos telah diperkenalkan di beberapa bandar ternama di dunia seperti Paris dan Amsterdam.

Menerusi program itu, ia membolehkan orang ramai memandu EV dengan cara sewaan mengikut jam.

Menurut Syed Zainal Abidin, CMS sudah mendapat kelulusan lessen daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengendali perkhidmatan perkongsian kereta dan juga kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menggunakan Renault Zoe dan Renault Twizy di atas jalan bagi menyokong program tersebut.

“Buat masa ini, kami telah menerima 50 unit Zoe dan 36 unit Twizy untuk digunakan di bawah program Comos,” katanya.

Beliau berkata, Comos menyasarkan untuk mengembangkan inisiatif tersebut ke Phuket, Thailand dan Bali, Indonesia pada peringkat permulaan sebelum melebarkan sayap ke bandar-bandar lain di dunia yang menjadi tumpuan pelancong.