Melaka Perintis comos eco ride – Penggunaan Renault Twizy bermula 1 Nov
BANDARAYA MELAKA 22 Okt. – Melaka akan menjadi negeri perintis di Malaysia bagi program comos eco ride berkonsepkan perkongsian kereta dikenali sebagai Cohesive Mobility Solutions (COMOS) untuk kegunaan pelancong di kawasan tapak warisan dunia UNESCO.
Pengarah Eksekutif CMS Konsortium Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin berkata, bagi fasa pertama program berkenaan yang dijangka bermula 1 November ini, pihaknya akan membekalkan 5 unit Renault Twizy.
Beliau memberitahu, perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek mengintegrasi kenderaan elektrik dan dan stesen pengecas COMOS serta perkhidmatan sewa kereta berkenaan telah ditandatangani antara Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dengan CMS Konsortium Sdn. Bhd., pada Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Eko-Produk (IGEM) 2014 di Kuala Lumpur Convention Centre 16 Oktober lalu.
Katanya, KMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Isnin Aman manakala CMS Konsortium Sdn. Bhd., diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Majlis pemeterai itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri, Datuk Seri Ir. Idris Haron; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar.
Turut hadir Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Wira Md. Yunos Husin; Exco Komunikasi dan Koperasi, Datuk Wira Latiff Tamby Chik serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Roslan Ibrahim.
Mohd. Azman memberitahu, pihaknya akan menawarkan dua pakej menarik menerusi comos eco ride yang boleh dua penumpang bagi setiap kereta yang bolej disewa mengikut jam atau setengah hari.
“Renault Twizy yang akan disewakan kepada pelancong turut dilengkapi dengan ev ecosystem mengandungi informasi berkaitan latar belakang serta kedudukan lokasi yang hendak dilawati, jarak serta maklumat lain,” ujarnya.
Katanya, CMS Konsortium Sdn. Bhd., menghargai komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Ir. Idris Haron dalam usaha merealisasikan program teknologi hijau termasuk menawarkan insentif kepada kenderaan yang menggunakan teknologi hijau yang memasuki kawasan warisan dunia.
“Comos eco ride telah dipraktikkan secara meluas di beberapa negara maju seperti di Kota Paris, namun Melaka dilihat lebih terkedepan dalam usaha mempelopori program ini di Malaysia meskipun terdapat perancangan awal untuk melaksanakannya di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Langkawi, Johor Baharu dan Pulau Pinang,” ujarnya.
OLEH MISROM MATLEHAM