CAS KERETA macam telefon – PULIHARA alam sekitar

Selain lokasi mengecas yang perlu diperbanyakkan, galakan membeli EEV perlu diperhalusi demi masa depan

 

Penggunaan EEV boleh kurangkan karbon dioksida dari kenderaan yang menjangkau 44 juta tan setahun

 

Fokus kepada kenderaan cekap tenaga (EEV) kini semakin penting apakah lagi ketika negara kita menyasarkan mahu menjadi hab serantau selain kenderaan hibrid yang digariskan sebelum ini sekali gus menggalakkan pertumbuhannya kepada industri dan senario automotif di Malaysia.

Kita juga dapati sejak beberapa tahun kebelakangan ini kenderaan cekap tenaga mula mendapat perhatian. Syarikat pengeluar kereta mula mengeluarkan kenderaan yang efisyen, kurang penggunaan petrol berikutan peningkatan harga petrol dan lebih mesra alam.

Kecekapan ini sama ada menerusi rekaan produk atau operasi perniagaan akan membantu kepada masa depan yang mapan dan merangsang kemajuan industri automotif.

Sebelum ini, Dasar Automotif Nasional 2014 (DAN 2014) mengenai kepentingan EEV namun masih terdapat banyak kekeliruan mengenai definisi yang tepat untuk EEV kerana definisi EEV adalah berbeza mengikut dasar yang dikeluarkan oleh setiap negara.

Misalnya, kereta ‘eco’ di Thailand perlu menggunakan bahan api kurang daripada 4.3 liter per 100 kilometer, pelepasan karbon kurang daripada 100 gram per kilometer, enjin 1.3 liter atau kecil bagi kenderaan yang berasaskan petrol dan enjin 1.5 liter atau lebih kecil bagi kenderaan diesel yang menggunakan EURO 5 atau lebih tinggi di samping mematuhi peraturan R94 dan R95 (impak depan dan sisi) dalam Fasa 2 dasar yang diperkenalkan di sana.

Manakala di Indonesia, kereta di bawah program Kereta Hijau Kos Rendah harus mempunyai penggunaan bahan api sebanyak 5.0 liter per 100 kilometer atau kurang, kapasiti enjin 1.0 – 1.2 liter bagi kereta petrol dan 1.0 – 1.5 liter bagi kereta diesel dengan harga atas jalan bermula Rp.95 juta (RM25,000) atau kurang.

Selain itu, pelan hala tuju EEV juga perlu jelas bagi menzahirkan komitmen dan keseriusan Malaysia menjadi hab automotif serantau bagi EEV.

Setakat ini, belum ada rangka kerja yang kukuh dan meyakinkan bagi menjadi elemen penting syarikat tempatan dan asing dalam memperuntukkan pelaburan dalam EEV di negara ini.

Seterusnya, satu ekosistem perlu diwujudkan termasuk aspek modal insan bagi memastikan ada sokongan kepakaran dan menyumbang kepada pembangunan inovasi dan kepakaran selaras teknologi dimiliki pengeluar asing.

Inisiatif yang benar-benar dapat dilihat dalam ekosistem EEV kini melalui syarikat perkongsian EEV, CMS Consortium Sdn Bhd yang bersedia memperkenalkan program pertama melalui Mobiliti Penyelesaian Padu (COMOS) dengan 50 kenderaan EEV yang terdiri daripada Nissan Leaf, Renault Twizy dan Renault Zoe.

Ia bermakna, warga kota bakal berpeluang untuk menyewa EEV terbabit yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif CMS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, program itu yang dianggap antara pemangkin untuk pertumbuhan EEV di Malaysia dengan hanya menggunakan aplikasi untuk menempahnya.

“Terdapat tiga cara mudah untuk menyewa kenderaan EEV iaitu daftar, ambil kenderaan di stesen pengecas dan pulangkan di lokasi disediakan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di samping mengurangkan paras karbon dioksida (CO2) di kawasan bandar.

“COMOS bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas bandar dengan menggunakan pengangkutan alternatif melalui konsep perkongsian kereta.

“Ia secara tidak langsung menggalakkan persekitaran hijau dan mengurangkan penggunaan bahan api,” katanya.

Sebelum ini, beliau memaklumkan, 60 stesen mengecas awam akan dipasang di hotel, pusat beli belah, bangunan pejabat dan hab pengangkutan awam sekitar Lembah Klang.

Ia kemudian akan dikembangkan di bandar lain termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang dan Melaka.

Syed Zainal meramalkan pada 2015, jumlah pengguna boleh mencecah sehingga 5,000 dengan kemudahan 100 stesen mengecas di bandar terpilih.

“Pengguna perlu mendaftar dengan kami terlebih dahulu. Kad keahlian akan diberikan dan mereka boleh menggunakan kereta kami di lokasi tertentu,” katanya.

Kadar bayaran sewaan COMOS dijangka sekitar RM20 hingga RM25 sejam, namun ia belum dimuktamadkan lagi.

Itu dari segi sewaan namun pada hakikatnya jika pengguna mahu membeli sendiri kenderaan terbabit, harganya terlalu mahal.

Bayangkan, kos membeli satu kenderaan lima tempat duduk pun boleh menjangkau sehingga RM250,000.

Berdasarkan purata gaji kasar pekerja di negara ini, agak mustahil untuk membeli EEV atau mendapatkan pinjaman kenderaaan terbabit.

Lebih menarik, sekiranya pembeli kenderaaan pertama atau golongan muda mendapat inisiatif sehingga 50 peratus untuk mendapatkan EEV atau pemotongan duti eksais.

Seterusnya galakan lokasi mengecas juga perlu diperluaskan secepat mungkin bagi menampung EEV yang ada.

Mengikut pemerhatian [email protected], beberapa pusat beli-belah popular mula menyediakan parkir khas untuk EEV mengecas kenderaan mereka.

Ia memandangkan EEV memerlukan cas yang kerap apabila tenaganya berkemungkinan bertahan antara tiga hingga tujuh jam saja.

Oleh itu, seperti telefon pintar, EEV memerlukan tempoh mengecas yang kerap setiap kali ia berhenti.

Selain pusat membeli-belah, pihak berkuasa tempatan juga boleh menyediakan tapak khas bagi pengecasan EEV.

Tidak perlu menyediakannya secara percuma, mekanisme khas boleh diambil bagi mengira caj bersesuaian ketika pengguna mengecasnya.

EEV bukan saja memberi penjimatan dari aspek kos penyelenggaraan namun masalah bumi yang kini sudah tua memerlukan kaedah baru yang lebih mesra alam apatah lagi pengeluaran karbon dioksida daripada kenderaan menjangkau 44 juta tan setahun.

Justeru, penggunaan EEV menjadi menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang padat dengan tiga juta kenderaan setiap hari selain 23.7 juta kenderaan didaftarkan di Malaysia sehingga kini.

Malah penggunaan petrol bagi pengangkutan juga melangkaui 4.7 bilion liter pada tahun 2012 saja.

Oleh itu, penggunaan EEV kini sudah boleh dijadikan antara objektif utama bukan saja kepada pemilikan kenderaan malah menyelamatkan alam sekitar.

@FOKUSIT

Oleh Afiq Hanif

[email protected]

SEWA boleh dilakukan menggunakan aplikasi telefon

 

KAD khas untuk sewa EEV oleh COMOS.

 

INDIKATOR cas bateri ditunjukkan di panel kenderaan

 

CAS hanya menggunakan plug tiga pin.

 

SELAIN kereta, motorsikal juga boleh dikategorikan sebagai EEV.

 

EEV dua tempat duduk sesuai untuk kereta kedua.