IRDA mula guna kereta elektrik

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (dua dari kanan) diiringi Ismail Ibrahim (kanan sekali), Syed Zainal Abidin (tiga dari kanan) dan Mohamed Khaled Nordin (lima dari kanan), melihat kereta elektrik Renault ZOE yang diserahkan oleh Comos kepada IRDA di Johor Bahru, semalam – UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

 

JOHOR BAHRU 19 Jan. – Dalam usaha menjadikan Iskandar Malaysia sebagai sebuah metropolis berkonsepkan pintar dan hijau, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memulakan langkah menggunakan kereta elektrik.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, usaha tersebut dimulakan dengan menggunakan dua buah kereta elektrik jenis Renault Zoe yang disewa daripada CMS Consortium Sdn. Bhd. (Comos) sebagai kenderaan rasmi pihaknya.

“Usaha ini merupakan antara langkah IRDA untuk memastikan masa depan Iskandar Malaysia lebih mapan, sekali gus dapat mengurangkan perlepasan gas karbon dan pada masa sama mampu memelihara alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

IRDA menerima dua kereta elektrik daripada Comos menerusi pakej sewaan korporat dan penjenamaan kenderaan korporat syarikat itu yang dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pusat Informasi Iskandar Malaysia, di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Ekskutif Comos, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Pada majlis itu, Comos turut memperkenalkan satu lagi perkhidmatan menggunakan kereta elektrik dikenali ‘Ecoride’ yang telah diguna pakai di beberapa tempat pelancongan di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Menurutnya, inisiatif sama boleh diperkenalkan di Iskandar Malaysia dengan para pelancong boleh melawat kawasan berkenaan menggunakan kereta elektrik yang lebih mesra alam dan tidak menggunakan petrol.

Oleh NURUL HUDA HASSAN

[email protected]