EV bentuk metropolis hijau

SULTAN Ibrahim mencuba kereta elektrik selepas melancarkannya di Pusat Informasi Iskandar Malaysia, Danga Bay.

 

Johor Bahru: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memperkenalkan penggunaan kereta elektrik (EV) sebagai usaha untuk membentuk Iskandar Malaysia sebagai metropolis hijau yang mapan.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata, buat permulaan, pihaknya menggunakan dua  unit kereta elektrik berkenaan bagi urusan rasminya.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk meningkatkan bilangan penggunaan kereta elektrik di dalam kawasan pentadbirannya pada masa depan.

“Penggunaan kereta elektrik seumpama ini sudah ada di beberapa kawasan tumpuan pelancong asing di seluruh negara dan kita mengambil inisiatif sama untuk mencegah pencemaran udara kerana mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida bagi menangani masalah pemanasan global.

“Pada hari ini, kami menerima dua unit kereta elektrik daripada CMS Consortium Sdn Bhd (Comos) di bawah pakej sewaan,” katanya di majlis penggunaan kereta elektrik yang dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pusat Informasi Iskandar Malaysia di Danga Bay di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Secara purata kereta elektrik berkenaan yang boleh memuatkan empat orang memerlukan tempoh mengecas selama empat jam.