Sultan Ibrahim rasmi EVs IRDA

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan dua kenderaan elektrik (Evs) yang diterima pihak berkuasa pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), semalam.

Kenderaan terbabit diterima IRDA daripada CMS Consortium Sendirian Berhad (Comos) sempena lawatan kerja di Pusat Informasi Iskandar Malaysia, semalam.

Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim berkata, dua unit EVs itu disewa IRDA selama tiga tahun daripada Comos di bawah pakej pemajakan dan penjenamaan kenderaan korporat Comos.

Menurutnya, IRDA memilih mobile pintar berkenaan sebagai bukti objektif ke arah membangunkan kawasan Iskandar Malaysia sebagai bandar raya pintar, metropolis hijau dan mapan.

“Kami menerima kedua-dua EVs jenis model Zoe Renault untuk digunakan sebagai kegunaan rasmi IRDA.

“Ini merupakan salah satu usaha kecil memelihara bumi dari pencemaran udara sekali gus dapat menyumbang ke arah mengurangkan gas karbon,” katanya pada Majlis Penyerahan EVs dari Comos kepada IRDA, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Eksekutif Comos, Datuk Seri Syed Zainal Abidin.

Ismail berkata, selain digunakan untuk melengkapi pengangkutan awam, Comos telah memperkenalkan perkhidmatan lain dengan menggunakan Ev dipanggil Ecoride.

Katanya, IRDA turut berhasrat menggunakan EVs yang mesra alam dan tanpa menggunakan petrol itu di kawasan Iskandar Malaysia seperti yang diperkenalkan di Putrajaya untuk industri pelancongan.