IRDA galak kereta elektrik – Langkah positif jadikan Iskandar Malaysia metropolis hijau.

Johor Bahru
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan merasmikan kereta elektrik (EV) model Renault Zoe yang akan digunakan bagi urusan rasmi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Perasmian itu sempena lawatan kerja baginda ke IRDA di Pusat Informasi Iskandar Malaysia (IMIC) di sini, semalam.
Baginda turut diberi penerangan mengenai ciri kereta EV oleh Pengerusi Eksekutif CMS Consortium Sdn Bhd (COMOS), Datuk Seri Syed Zainal Abidin.
Dua unit EV itu disewa khas oleh IRDA selama tiga tahun daripada COMOS di bawah Pakej Penjenamaan Kenderaan Korporat dan Pajakan COMOS.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Abd Rahman Mohamed Dewam dan Ketua Pegawai Eksekutif COMOS, Dr Badrulhisham Mohd Ghazali.
Metropolis mesra alam
Sementara itu, Ismail berkata, buat permulaan dua kereta EV disewa bagi merealisasikan matlamat Iskandar Malaysia ke arah menjadi sebuah metropolis yang bestari dan mesra alam.
“Ini adalah langkah positif untuk menjadikan Iskandar Malaysia lebih hijau menerusi penggunaan kenderaan elektrik yang menyumbang kepada pengurangan gas karbon.
“Kami menggalakkan syarikat korporat lain mencontohi inisiatif ini dan penggunaan EV bagi melengkapkan lagi sistem pengangkutan bersepadu yang kini sedang diwujudkan di wilayah ini,” katanya.
Ismail berkata, COMOS juga memperkenalkan perkhidmatan menggunakan EV yang dikenali Ecoride.
“Perkhidmatan ini sudah diguna pakai di beberapa lokasi tumpuan pelancongan seperti di Putrajaya.
“Inisiatif sama akan dilaksanakan di Iskandar Malaysia yang membolehkan pelancong memandu kereta EV yang mesra alam,” katanya.
Oleh Zuraidah Mohamed