EV: Siapa yang perlu bersedia, kerajaan atau rakyat?

PENGGUNAAN kenderaan elektrik semakin popular dalam kalangan negara-negara Eropah. – GAMBAR HIASAN

 

Hezeri Samsuri

BULAN lepas saya hadir ke pelancaran sistem perkongsian kenderaan elektrik Comos. Diterajui oleh bekas kemudi Proton, Datuk Syed Zainal Abidin, Comos ialah syarikat perkongsian kenderaan elekrik yang pertama di ASEAN.

Syed Zainal sudah saya kenali sejak dari zaman Proton lagi, dan saya sangat tertarik dengan komitmen beliau dalam mana-mana projek. Namun apabila dia berkongsi pendapat dengan saya mengenai Comos tahun lalu, saya terus-terang menyatakan rasa tidak yakin saya.

Kenderaan elektrik atau EV (Elektrik Vehicle) bukanlah satu modul perniagaan yang baharu. Di Eropah dan Amerika Syarikat, industri EV sudah bertapak lebih 10 tahun. Namun, seperti apa yang kita lihat, penjualan EV masih lagi rendah.

Norway kini dilihat sebagai negara yang mempunyai penjualan EV paling tinggi (nisbah satu EV untuk setiap 100 kenderaan penumpang terjual), diikuti dengan Estonia yang mempunyai stesen cas bateri di merata pelosok negaranya, dengan jarak minimum antara stesen cas antara 40 hingga 60 kilometer (km).

Amerika Syarikat pula Berjaya menjual sebanyak 290,000 unit EV sejak dari tahun 2008, menjadikannya negara terbesar pengguna EV, kira-kira 41 peratus penjualan dunia untuk EV.

Di semua negara tersebut, penglibatan pihak kerajaan dilihat sangat aktif. Antara insentif yang diberikan ialah pelepasan cukai, pengunaan lorong bas ketika kesesakan dan tempat meletak kenderaan yang istimewa untuk EV.

Di Malaysia, insentif untuk memujuk rakyat menggunakan EV sangat kurang. Sekarang ini, insentif yang diterima ialah pelepasan cukai, sekiranya kenderaan EV itu dipasang di dalam negara.

Pembuatan EV bukanlah murah, dan memerlukan teknologi tinggi. Untuk dipasang di dalam negara, pelbagai persiapan perlu dilakukan dan ini akan melibatkan kos yang tinggi untuk syarikat kenderaan. Sehingga kini, negara kita masih belum pasti bagaimana caranya untuk menangani isu bateri buruk. Bateri kenderaan EV atau hibrid memerlukan cara pelupusan yang khusus kerana ia boleh memudaratkan alam semula jadi jika ia tidak dilupuskan secara teratur.

Bagi syarikat kenderaan, pelaburan hanya boleh dilakukan sekiranya ia akan membuahkan hasil. Dalam isu EV, sukar untuk dijangkakan hasilnya kerana motivasi untuk menggunakan EV sangat kurang.

EV memerlukan perubahan daripada cara penggunaan kenderaan kerana ia mempunyai bateri yang perlu dicaj. Setiap caj akan mengambil masa dua hingga lapan jam untuk penuh. Jalinan pusat mengecaj bateri dengan kemudahan untuk membuat tempahan secara dalam talian perlu wujud. Comos sebenarnya mempunyai sistem yang betul, tetapi ia dilakukan dalam skala rendah.

Green Tech Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) begitu aktif untuk menaikkan minat EV di negara. Pelbagai seminar dan pameran dilakukan namun usaha mereka tidak mencukupi.

Pihak kerajaan perlu lebih serius dalam isu memperkenalkan EV kepada pengguna tempatan. Rakyat yang membeli EV perlu diberikan insentif seperti rebat pada cukai pendapatan mereka. Pengguna EV juga perlu diberi tempat meletak kenderaan yang percuma di kawasan sesak sekitar ibu kota. Mereka juga perlu diberikan bantuan dari segi stesen mengecaj bateri yang lebih banyak.

Memperkenalkan EV di dalam negara memerlukan banyak perancangan yang teliti dari pelbagai kementerian. Dengan harga minyak antara yang terendah di dunia, bukan mudah untuk memujuk rakyat meninggalkan kenderaan berenjin yang lebih praktikal dan mudah kepada EV, kenderaan yang mempunyai penggunaan yang sangat terhad.

Umpama ayam dan telur, yang mana datang dahulu. Di dalam isu ini, kerajaan adalah ayam dan telurnya sekali.

PENULIS adalah Ketua Pengarang TopGear Malaysia