Seronok naik kereta hijau – Putrajaya lokasi pertama di Malaysia sewa kenderaan elektrik

Putrajaya
Bersaiz kecil dan hanya muat untuk dua individu, namun tetap memberikan kepuasan dan pengalaman menyeronokkan sepanjang menaikinya.
Itu maklum balas daripada pengunjung, Zainor Fahmi Mohd Yusof, 40, ketika ditanya pengalamannya memandu EcoRide@Putrajaya yang disediakan untuk sewaan kepada pengunjung di i-Centre Perbadanan Putrajaya (PPj), Dataran Putra di sini.
Menurutnya, biarpun baru pertama kali memandu pengangkutan kereta berkuasa elektrik (EV) berkenaan, ia tetap memberikan pengalaman baru yang menarik.
“Pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana kereta ini bersaiz kecil, malah terasa senang ketika memandu lebih-lebih lagi ketika mengundurkan kereta.
“Selain itu, pemanduan Ecoride@Putrajaya juga sangat ringan tidak seperti menaiki kereta biasa yang lain,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Zainor Fahmi yang juga kakitangan swasta berkata, dia memuji inisiatif menyediakan khidmat sewaan Ecoride@Putrajaya kerana dilihat satu daripada daya tarikan pengunjung khususnya pelancong asing ke sini.
“Saya sering datang ke Putrajaya membawa keluarga makan di sini dan tidak sangka pula ternampak ada sewaan kereta ini. Jadi saya tidak melepaskan peluang mencubanya.
“Perkhidmatan ini sangat bagus dan memberi peluang kepada orang awam mencuba pengalaman menarik menaiki dan memandu kenderaan ini,” katanya.
Kakitangan swasta, Wan Md Azzaidin Wan Ismail, 36, berkata, dia juga tidak melepaskan peluang menaiki kereta berkenaan bersama isteri, Marlina Hashim, 35, serta dua anak mereka.
“Memanglah agak sempit sedikit disebabkan hanya muat untuk dua orang, lebih-lebih lagi dua anak kami juga mahu menaiki kereta ini bersama.
“Bagi saya ia pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana pertama kali memandu kenderaan kecil seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CMS Consortium Sdn Bhd, Syed Malek Faisal Syed Mohamad berkata, sebagai permulaan sebanyak lima Ecoride@Putrajaya disediakan untuk sewaan dan pihaknya akan menambah pada masa akan datang.
“Kenderaan ini baru memulakan operasinya pada Khamis lalu, sekali gus menjadi kemudahan kereta EV pertama beroperasi di negara ini. Sebelum ini, kemudahan kereta EV ini banyak di negara Eropah.
Pelancarannya juga ada dibuat di Melaka dan Pulau Langkawi, manakala Putrajaya memulakan dahulu pengoperasian berbanding dua lokasi berkenaan,” katanya.
Katanya, sejak memulakan operasi, pengangkutan berkenaan mendapat sambutan daripada orang awam.
Pada 19 November lalu, PPj, menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama CMS Consortium Sdn Bhd bagi membekalkan 12 unit EV di Putrajaya, sekali gus menjadi produk pelancongan baru di sini.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi