Kuala Lumpur sasar bandar raya hijau

PENGGUNAAN kenderaan elektrik di ibu negara hasil inisiatif perkongsian awam swasta antara Institut Automotif Malaysia (MAI), Malaysia Greentech Corporation dan CMS Consortium Ecotour Sdn. Bhd. (Comos) mampu membentuk Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya hijau pada masa akan datang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, inisiatif yang mampu mengurangkan kadar pembebasan karbon dioksida itu patut dicontohi sama ada oleh badan kerajaan mahupun syarikat swasta yang lain.

“Saya berasa amat berbangga kerana bandar raya Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi utama untuk projek ini. Diharapkan dengan usaha ini, Kuala Lumpur akan dikenali sebagai sebuah bandar raya hijau.

“Saya difahamkan inisiatif ini merupakan konsep pertama seumpamanya yang dilakukan di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara.

“Berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang masuk ke dalam kawasan pusat bandar raya saban hari, maka secara langsung ia akan menyumbang kepada peningkatan kadar pencemaran udara di Kuala Lumpur. Penggunaan kereta elektrik yang mesra alam seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan pencemaran berkenaan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Phesal turut memberitahu, pihaknya akan menimbangkan untuk menggunakan kereta elektrik sebagai salah satu kenderaaan rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha menyokong serta menyemarakkan lagi penggunaan kenderaan mesra alam di negara ini.

“Kita akan menimbangkan penggunaan kereta elektrik seperti ini untuk kegunaan rasmi di DBKL sama ada sebagai kenderaan peronda atau kenderaan rasmi pegawai kita dalam usaha menyokong pembentukkan bandar raya hijau.

“Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, saya percaya usaha Kuala Lumpur untuk menjadi bandar raya hijau akan lebih pantas berikutan kewujudan lebih banyak stesen pengecas yang secara tidak langsung dapat menarik minat orang ramai khususnya penduduk Kuala Lumpur menggunakan kereta mesra alam.

Selain itu, kita juga bercadang untuk berbincang dengan beberapa pemilik bangunan atau pemaju hartanah supaya mewujudkan stesen pengecas pada masa akan datang sebagai kemudahan orang ramai mengecas kenderaan elektrik mereka,” ujarnya.

 

AHMAD PHESAL menunjukkan tanda bagus sewaktu memandu kereta elektrik di ibu negara baru-baru ini.