CMS Consortium Ecotour unjur 40 stesen EV
Kuala Lumpur 10 Sept. – CMS Consortium Ecotour Sdn. Bhd. merancang untuk menyediakan sebanyak 40 stesen kenderaan elektrik (EV) berbanding 11 ketika ini bagi program sistem mobiliti bersepadu (Comos) menjelang akhir 2016.
Ketua Pegawai Teknologinya, Fadzili Ahmad Shiyuti berkata, stesen EV berkenaan akan dibina di Lembah Klang terutamanya di kawasan tumpuan seperti stesen LRT serta bangunan komersial.
Katanya, sejak Comos diperkenalkan pada 30 Mei lalu, seramai 850 ahli berdaftar dan 220 daripada mereka telah menggunakan perkhidmatan perkongsian kereta itu.
Beliau menyifatkan jumlah pengguna tersebut sebagai penerimaan memberangsangkan justeru menyasarkan peningkatan kepada 540 ahli untuk mencuba perkhidmatan Comos pada akhir 2015.
“Program Comos buat masa ini menawarkan sebanyak 10 kereta elektrik jenis Reanult Zoe yang mempunyai ciri keselamatan mematuhi piawaian antarabangsa.
“Orang ramai yang berminat untuk mencuba memandu kenderaan ini hanya perlu mendaftar dan mengguna aplikasi mudah alih seterusnya mengambil kereta di stesen EV,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau merupakan antara ahli panel perbincangan bertajuk Revolusi Perkongsian Kereta sempena Persidangan E-Mobilia Dunia.
Comos adalah program perkongsian kereta yang membolehkan orang ramai untuk memandu kereta elektrik dengan cara sewaan mengikut jam.
Caj penggunaan minimum hanya RM6 setiap 15 minit dan RM160 untuk sehari.
Perkhidmatan perkongsian EV menyumbang kira-kira 50 peratus kepada perolehan CMS Consortium Ecotour dan selebihnya daripada aktiviti perlesenan korporat.